Rasulullah saw bersabda dalam satu hadis riwayat Muslim, dari Abu Ruqaiyah bin Aus adDari:
"AdDeen (ugama) itu adalah nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Rasulullah menjawab: untuk Allah, kitabNya, rasulNya, kepada semua pemimpin orang Islam dan kepada semua orang Islam".
Dari hadis di atas, jelaslah Rasulullah menghubungkan Deen atau ugama dengan nasihat (peringatan). Amalan nasihat menasihati menjadi asas kepada ugama kita.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk memberi nasihat dan mendengar nasihat dan peringatan. Ini yang membezakan antara seorang Muslim dari bukan Muslim.
Banyak ayat-ayat alQuran menyuruh kita supaya melaksanakan amalan ini. Maksud firman Allah dalam surah AzZariyat ayat 55:
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanafaat bagi orang-orang yang beriman."
Tetapi ada segolongan manusia yang tidak suka diberi peringatan atau menganggap peringatan itu sebagai "offensive" atau mengganggu "private life" mereka.
Mereka menganggap orang yang memberi peringatan itu adalah pengacau. Jika mereka melakukan sesuatu mungkar, mereka akan menjauhi orang lain kerana takut diberi peringatan tentang kesalahan yang dilakukan.
Golongan ini dinyatakan oleh Allah:
"dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya, iaitu orang yang akan memasuki api yang besar (neraka)."
Mereka adalah orang-orang yang telah menutup pintu hati mereka dengan berbagai prejudis and tidak berani untuk menghadapi kebenaran. Untuk golongan ini, Allah memberi amaran:
"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa (They were plunged into destruction with deep regrets and sorrows)". (maksud surah An'aam:44)
Oleh itu marilah kita berdoa kepada Allah supaya dibukakan hati kita untuk menerima segala nasihat dan peringatan yang baik supaya kehidupan kita sentiasa mendapat bimbingan dariNya, sehinggalah sampai masa kita menemuiNya.